Selasa, 21 Julai 2009

SENARIO PENDIDIKAN PEMBANGUNAN LESTARI

Tanggapan manusia terhadap alam sekitar, pembangunan ekonomi dan hubungan antara keduanya semakin berubah. Pada penghujung tahun 1980an, dunia telah menyaksikan satu penilaian semula yang radikal terhadap kebimbangan manusia ke atas pembangunan sumber semulajadi dan hubungannya dengan degradasi alam sekitar, kualiti hidup, kemiskinan dan perubahan ekonomi. Penilaian radikal ini telah membuka satu pendekatan baru terhadap isu-isu berkaitan sumber semulajadi dan alam sekitar (Khairulmaini, 2000). Pendekatan ini adalah bertujuan untuk mengimbangkan permintaan manusia dan keupayaan daya tampung alam sekitar akibat kendalian sistem ekonomi. Pendekatan ini digelar pembangunan lestari. Menurut laporan Brundlant Commission (1987), penekanan diberikan terhadap kepentingan pembangunan lestari untuk generasi akan datang. Seperti yang tertera dalam “World Commission on Environment and Development 1987” pembangunan lestari didefinisikan sebagai:

“…development that meets the needs of the present without compromising the ability of future generations to meet their own needs.”

Dalam sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992, kepentingan pembangunan lestari telah menjadi perkara penting dalam Agenda 21, Bab ke-36. Hasil persidangan tersebut Malaysia telah mengambil langkah dengan memperkenalkan Pendidikan Alam Sekitar bagi membantu setiap individu memperoleh nilai, komitmen, pengetahuan asas dan meningkatkan kemahiran serta membina sikap positif terhadap alam sekitar. Pendekatan seumpama “Enviro-Schools”, “Eco-Schools”, “Whole-School Approaches” dan “New Zealand’s Environmental Educational Professional Development Programme” diberikan penekanan dan peneguhan optimistik di negara-negara maju. Isu yang dibincangkan adalah berkenaan pengetahuan dan kesedaran alam sekitar, isu kitar semula dan isu Pendidikan Alam Sekitar.
Kepentingan terhadap Pendidikan Alam Sekitar bukan sahaja merupakan masalah negara-negara maju malahan ia juga merupakan isu utama yang harus diberikan penekanan oleh rakyat Malaysia. Atas dasar kesedaran inilah maka Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengorak langkah melancarkan Program Sekolah Lestari. Idea Sekolah Lestari telah dicetuskan semasa Simposium Pendidikan Alam Sekitar untuk pengetua-pengetua sekolah peringkat kebangsaan pada 27 hingga 30 Ogos 2001 di Melaka (Kasthuri, 2007).
Perkara ini cukup relevan pada ketika ini apabila timbulnya isu pemanasan global yang kian meruncing. Menurut laporan Bernama (2007), Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah dari Universiti Malaya menyatakan bahawa kenaikan suhu bumi ialah kira-kira 2ºC setahun dan kenaikan ini berbeza dari satu rantau ke satu rantau yang lain. Menurut Profesor Azizan lagi, 98% daripada punca utama kepada peningkatan suhu global ini datangnya daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang telah dilakukan sejak abad ke-18 lagi dan ini termasuklah pembakaran fosil untuk penjanaan tenaga elektrik. Kesinambungan daripada penyataan di atas, di Malaysia 90% tenaga yang digunakan adalah tenaga elektrik dan daripada jumlah itu 45% daripada permintaan tenaga elektrik di negara ini adalah daripada sektor domestik dan komersial yang kebanyakannya digunakan untuk lampu, pendingin udara dan pemanas air dalam bangunan seperti rumah kediaman (Kamarulazizi, 2003). Oleh yang demikian, Malaysia kini giat mempromosi isu kecekapan tenaga yang menerapkan amalan penjimatan sumber-sumber terhad, pembangunan lestari, pemeliharaan alam sekitar di samping menjamin kualiti dan keselesaan hidup.
Demi menzahirkan amalan menjimatkan tenaga ini maka bangunan-bangunan yang cekap tenaga direka dan dibina sebegitu rupa supaya penggunaan tenaga elektrik dapat diminimakan. Usaha ini giat dilakukan di seluruh dunia dengan terciptanya pelbagai bentuk “Smart house” namun pembinaannya yang menggunakan peralatan cekap tenaga menelan belanja yang besar (WBCSD, 2007). Maka adalah menyulitkan untuk Malaysia merealisasikan amalan membina rumah cekap tenaga yang serba moden ini.
Kesinambungannya, ciri-ciri kecekapan tenaga yang terdapat dalam pembinaan rumah tradisional Melayu perlu diberi penekanan (Lim, 1991) dalam kurikulum matapelajaran Sains di Malaysia. Di samping mengurangkan masalah pemanasan global dan menyokong pembangunan lestari, rumah tradisional Melayu juga perlu diberi penegasan dan pemahaman dalam kalangan generasi pewaris kerana ia merupakan warisan budaya bangsa Melayu. Apatah lagi, melestarikan budaya dan warisan bangsa itu juga merupakan salah satu aspek yang menyokong pembangunan lestari. Malah pengetahuan tradisi yang tersirat di sebalik pembinaan satu-satu rumah tradisional Melayu juga harus dilestarikan khasnya dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri. Pengetahuan tradisi yang tersirat di sebalik pembinaan rumah tradisional Melayu merangkumi ciri-ciri kecekapan tenaga yang juga merupakan isu yang cuba dibangkitkan di peringkat dunia dalam usaha menangani isu pemanasan global. Maka adalah amat penting untuk generasi pewaris bangsa Melayu mewarisi dan membanggai senibina rumah Melayu demi memastikan pembangunan lestari dan pendidikan pembangunan lestari akan menemukan kejayaan. Oleh yang demikian adalah menjadi keperluan untuk ciri kecekapan tenaga dalam senibina Melayu diberi penekanan dalam kurikulum sekolah-sekolah di Malaysia khasnya untuk mata pelajaran Sains.
Pendidikan pembangunan lestari merupakan isu yang ditekankan dalam pendidikan di seluruh dunia. Sementara dalam konteks Malaysia, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dirancang sebagai pelan perjuangan pendidikan negara menjelang 2010 menjadi isu yang ditekankan di Malaysia. Konsep pembinaan Negara Bangsa yang diwarwarkan dalam teras pertama PIPP oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2007 amat penting bagi sebuah negara yang pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan sesebuah negara membina Negara Bangsa bergantung kepada keberkesanan perkongsian nilai dan semangat patriotisme dalam kalangan rakyatnya. Hal ini menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi di mana berlakunya pengaliran tanpa sempadan dan pantas bukan sahaja terhadap aspek maklumat, modal serta manusia, malah sistem nilai, budaya dan kepercayaan juga turut terpengaruh.
Antara lain, fokus PIPP 2006-2010 adalah memupuk rasa kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa (PIPP, 2007). Pelajar diharapkan agar dapat menghayati, menghargai, menyayangi seni, warisan dan budaya untuk membentuk identiti unik bangsa Malaysia. Warisan budaya bangsa juga merupakan salah satu agenda penting dalam pendidikan pembangunan lestari. Maka adalah bertepatan jika senibina rumah Melayu dijadikan salah satu contoh warisan bangsa Melayu yang penting untuk dihayati, dihargai dan disayangi oleh bangsa Melayu bagi membina jatidiri bangsa yang kuat.
Penekanan perkataan warisan dalam fokus ketiga Teras Pertama PIPP 2007 hanyalah menumpu kepada warisan tak nyata atau “intangible heritage”. Namun begitu, unsur-unsur pengetahuan warisan sebagai perkara yang “tangible” tidak disentuh. Pengetahuan warisan yang juga disebut pengetahuan tradisional seharusnya mendapat tempat sebagai aspek fokus untuk merakyatkan seni, warisan dan budaya bangsa dalam Teras Pertama PIPP. Ini kerana pengetahuan tradisional lebih membuktikan ciri-ciri ketamadunan sesuatu bangsa. Ciri-ciri ketamadunan bangsa terutamanya bangsa Melayu perlu diketengahkan kepada generasi muda sebagai pewaris bangsa agar jati diri kemelayuan generasi muda bangsa Melayu akan terus lestari. Pembuktian kepentingan hal ini tercatat dalam matlamat keenam pelaksanaan kursus wajib universiti iaitu kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS I dan II) yang menegaskan kepentingan kefahaman yang mendalam terhadap kekuatan setiap budaya dan warisan ketamadunan bangsa masing-masing. Justeru, kekuatan pemahaman ini mendorong kejayaan jati diri bangsa dalam mengharungi cabaran globalisasi seterusnya memangkin cita-cita Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 (Nik Rosila, 1998).
PIPP telah menggariskan matlamat di mana sistem pendidikan perlu melahirkan warganegara glokal yang mampu bertindak dengan bijak untuk menghadapi cabaran dan ancaman globalisasi dan liberalisasi. Justeru, peranan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah untuk memastikan sumber manusia yang dihasilkan mampu berfikir secara global dan bertindak secara “local” demi kepentingan negara dan bangsa. Nilai budaya Malaysia harus menjadi asas kepada kemajuan negara dan bangsa. Ini jelas dinyatakan dalam salah satu fokus PIPP 2006-2010 iaitu memantapkan perpaduan dan integrasi nasional. Strategi yang dirancang untuk pelaksanaannya melibatkan penerapan nilai jati diri, budi bahasa, seni budaya secara sisipan dalam tajuk-tajuk matapelajaran yang sesuai. Maka di sini, untuk menerapkan nilai jati diri bangsa Melayu melalui peneguhan rasa bangga terhadap aspek ketamadunan bangsa, pengetahuan tradisional tentang ciri-ciri kecekapan tenaga yang terselindung di sebalik pembinaan rumah tradisional Melayu perlu diselitkan. Isu kecekapan tenaga yang menjadi fokus utama dunia dalam usaha mengurangkan masalah pemanasan global yang juga menjadi agenda penting dalam pendidikan pembangunan lestari sebenarnya telah lama diamalkan oleh nenek moyang kita dahulu. Ini jelas terbukti dalam rekabentuk senibina rumah Melayu yang kaya dengan ciri-ciri istimewa terutamanya sifatnya yang mesra alam. Antara ciri kecekapan tenaga yang tersirat dalam rumah Melayu terdiri daripada aspek pemilihan bahan binaannya, aspek rekabentuk rumah yang mengambilkira arah pergerakan matahari, orientasi paksi bangunan, pencahayaan semulajadi dan aspek rekabentuk yang menitikberatkan pantulan sinaran matahari (Kamarulazizi, 2003). Kesemua ciri-ciri ini dikatakan cekap tenaga kerana ia dapat mengurangkan penggunaan tenaga bagi tujuan pengudaraan dan pendinginan dalaman rumah.
Realitinya, walaupun terselindung pelbagai keistimewaan di sebalik pembinaan rumah tradisional Melayu, masyarakat Malaysia berbangsa Melayu sendiri tidak lagi berpengalaman mendiami rumah-rumah tradisional yang benar-benar bercirikan senibina rumah Melayu. Kebanyakannya telah dipengaruhi oleh senibina bawaan kolonial barat. Menurut kajian Lim (1991):

“A major cause of the erosion of confidence in local technologies as a result of western-style models of development”.

Hal ini demikian kerana terhakisnya kepercayaan masyarakat terhadap senibina rumah Melayu. Pemilihan bahan binaannya dicampur-aduk atas dasar menginginkan rumah yang lebih kukuh dan selamat serta bahan-bahan binaan moden mudah didapati. Maka wujudlah rumah-rumah yang digelar oleh Lim (1991) sebagai “pseudo-tradisional Malay house” yang mana rumah tradisional Melayu yang menerima perubahan beberapa bahagian strukturnya yang menggunakan bahan binaan moden seperti zink, konkrit dan asbestos.
Rumah tradisional Melayu merupakan salah satu sumber identiti masyarakat Melayu Malaysia. Namun ini tidak bermakna bahawa identiti bangsa Melayu boleh dibentuk atau terhasil melalui penciplakan rekabentuk senibina rumah tradisional Melayu atau mengundurkan masa ke zaman silam. Pengajaran penting di sini menekankan identiti yang kukuh dalam sesebuah rekabentuk senibina akan terhasil jika sesuatu bangsa itu menjiwai teras nilai dan budaya bangsa itu sendiri.
Jelaslah, kekuatan budaya dan warisan ketamadunan setiap satu bangsa terbesar Malaysia perlu disampaikan sedemikian rupa agar masyarakat sejak dari bangku sekolah lagi sudah tertanam di dalam jiwa mereka dengan sifat berbangga terhadap pengetahuan tradisional bangsanya yang unggul. Institusi pendidikan haruslah dijadikan platform untuk menyampaikan pengetahuan tradisional ini secara perbandingan dengan pengetahuan moden yang diagung-agungkan dewasa ini. Hal ini demikian adalah untuk menyatakan kehebatan pengetahuan tradisional yang diwarisi turun-temurun.
Di Malaysia kini, pelbagai pihak yang berkesedaran tentang pembangunan lestari giat menerapkan amalan penjimatan sumber-sumber terhad, pembangunan lestari, pemeliharaan alam sekitar di samping menjamin kualiti dan keselesaan hidup. Menyentuh aspek kesedaran, di Malaysia pembangunan lestari diterjemahkan melalui program Pendidikan Alam Sekitar. Walau bagaimanapun penerapan Pendidikan Alam Sekitar merentas kurikukulum (Rancangan Malaysia Ke-6) yang dijalankan masih belum mampu membangkitkan kesedaran dalam bentuk perlakuan malah ia hanya memberi pengetahuan.
Jika dihalusi, kegagalan ini merupakan kelemahan penyampaian isu-isu alam sekitar oleh mekanisme pendidikan kerana menurut UNCED (1992) pendidikan merupakan wadah penyampaian ilmu pendidikan pembangunan lestari:
“Education is critical for promoting sustainable development and improving the capacity of the people to address environment and environmental issues... . It is critical for achieving environmental and ethical awareness, values and attitudes, skills and behavior consistent with sustainable development and for effective public participation in decision making.”

Di Malaysia, usaha-usaha pelbagai pihak yang berkaitan dalam mengetengahkan isu pembangunan lestari melalui pendidikan alam sekitar sudah sekian lama dilaksanakan sejak tiga dekad yang lalu. Namun pelaksanaannya menghadapi pelbagai kekangan daripada menemukan keberkesanannya di jiwa masyarakat Malaysia. Punca masalah ini boleh dilihat daripada pelbagai perspektif. Secara amnya, pengajaran mata pelajaran Sains sendiri yang begitu sinonim dengan pendidikan alam sekitar dan pembangunan lestari juga menjadi pencetus kepincangan ini. Menurut M. Jamel (2004), di sebalik penggubalan Falsafah Pendidikan Sains Kebangsaan yang dikatakan begitu ideal terselindung satu hakikat di mana:
“ The historical, humanistic and social expect also seem missing. What we see is only concerntration on application and technology...what is even worse, the students are drilled...by the teachers, as good grades are the in thing...”

Begitu juga dapatan kajian Arba’at Hassan (2006) yang menyimpulkan bahawa kegagalan menyampaikan pendidikan alam sekitar secara berkesan mungkin disebabkan oleh guru kurang berkemahiran untuk menangani proses pengajaran dan pembelajaran tajuk tertentu terutamanya dalam bidang yang melibatkan kemahiran membuat penyiasatan dan tindakan.
Sungguhpun pelbagai kursus dan pendedahan diberikan kepada guru-guru pra perkhidmatan dan guru dalam perkhidmatan namun hasilnya masih menemukan ketidaksungguhan. Kajian Mohamed Zohir dan Sharifah (2005) menyatakan bahawa guru-guru gagal mengintergrasikan Pendidikan Alam Sekitar dalam pengajaran seperti kehendak Pusat Perkembangan Kurikulum.
Pemahaman tentang alam sekitar boleh dikatakan masih agak rendah dalam kalangan rakyat Malaysia. Kurangnya pendedahan kepada maklumat alam sekitar menyebabkan ramai antara kita tidak dapat memahami dan mengenalpasti punca sebenar isu persekitaran. Tahap pengetahuan alam sekitar yang rendah akan membawa kepada pembentukan kesedaran alam sekitar yang rendah. Ini dibuktikan oleh laporan akhbar The Star (2003);

“…even Nature Club members, leave garbage behind after camping events…”

Maka jelas daripada penyataan ini bukan sahaja pelajar sekolah malah masyarakat Malaysia keseluruhannya gagal diasuh mengaplikasi kesedaran terhadap alam sekitar yang dipelajari. Oleh yang demikian, tahap pengetahuan dan kesedaran yang rendah tidak akan mendidik manusia untuk berubah sikap.
Pendidikan pembangunan lestari terhasil daripada impak negatif pembangunan masa kini yang banyak menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar seperti kadar pencemaran yang tinggi, kepupusan hutan dan penjejasan ekosistem kehidupan (Jamaludin, 1996). Memang tidak dapat dinafikan, pembangunan adalah salah satu bidang yang memberi sumbangan besar dalam meningkatkan ekonomi negara. Adalah menjadi matlamat utama setiap negara yang membangun untuk mencapai kemajuan dari segi ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya demi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti pada masa hadapan. Atas dasar keghairahan dalam mengejar kemajuan, aspek pemeliharaan alam sekitar semakin diabaikan dan hanya segelintir sahaja masyarakat yang benar-benar mementingkan kualiti alam sekitar (Surtahman dan Abd. Ghafar, 1997). Keadaan ini semakin membimbangkan bukan sahaja kepada negara malah di peringkat antarabangsa. Natijah daripada perbuatan manusia, kini dunia menghadapi pelbagai impak negatif antaranya penipisan lapisan ozon, peningkatan suhu dunia dan kemusnahan sumber kepelbagaian biologi. Usaha mengurangkan peningkatan suhu global yang meningkat sebanyak 2ºC setahun merupakan salah satu agenda penting dalam pembangunan lestari yang mana menekankan isu kecekapan tenaga sebagai jalan penyelesaiannya.
Dalam konteks global, 98% daripada punca utama kepada peningkatan suhu adalah daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil. Sebahagian daripada pelepasan gas karbon dioksida itu berpunca daripada proses penjanaan tenaga elektrik yang juga melibatkan pembakaran bahan fosil. Di Malaysia 90% daripada jumlah tenaga yang digunakan ialah tenaga elektrik. 45% daripada permintaan tenaga elektrik di negara ini adalah daripada sektor domestik dan komersial yang kebanyakannya digunakan untuk lampu, pendingin udara dan pemanas air dalam bangunan seperti rumah kediaman (Kamarulazizi, 2003). Oleh yang demikian, pembangunan sektor perumahan merupakan salah satu penyumbang terbesar masalah ini di Malaysia.
Dalam usaha dunia menemukan rekabentuk rumah pintar atau rumah cekap tenaga, Malaysia sebenarnya telah lebih lima dekad menemukan rekabentuk rumah cekap tenaga seperti mana yang dihasratkan. Penggunaan bahan binaannya juga boleh didapati tanpa merosakkan alam sekitar malah ia berciri mesra alam. Rumah tradisional Melayu merupakan senibina Melayu yang benar-benar ideal dalam aspek kecekapan tenaga. Namun begitu, penghayatan dan rasa cinta terhadap senibina Melayu ini kian dipinggirkan atas pengaruh arkitektur barat yang serba moden (Lim 1991). Di sebalik pembinaan sesebuah rumah tradisional Melayu tersirat pengetahuan tradisi yang diamal dan diwarisi daripada nenek moyang. Ilmu warisan ini juga disebut pengetahuan tradisional daripada perspektif agenda pembangunan lestari. Jika disorot daripada aspek senibina Melayu, pengetahuan tradisional yang tersirat di sebalik pembinaan rumah tradisional Melayu yang diwarisi amat berkesinambungan dengan pengetahuan sains moden iaitu tentang ciri-ciri kecekapan tenaga.
Kesinambungan daripada fenomena di atas, rumah tradisional Melayu merupakan warisan budaya bangsa Melayu yang wajar diberi tempat dalam penghayatan dan penekanan strategi merakyatkan seni, warisan, budaya bangsa yang termaktub dalam teras pertama PIPP. Apatah lagi rumah tradisional Melayu kaya dengan ciri-ciri kecekapan tenaga yang menyokong pembangunan lestari.
Kesimpulannya, isu pendidikan pembangunan lestari kini menjadi agenda utama pendidikan dunia. Maka dalam kajian ini, tiga agenda pembangunan lestari di ketengahkan dalam satu permasalahan. Agenda pengetahuan tradisional dalam kajian ini berfokus kepada ciri kecekapan tenaga dalam rumah tradisional Melayu yang selari dengan konsep sains dalam arkitektur moden. Agenda kedua, warisan budaya bangsa dalam kajian ini berfokus kepada senibina rumah tradisional Melayu yang kaya dengan nilai intelek dan estetikanya. Ketiga, agenda kesedaran alam sekitar dalam kajian ini berfokus kepada ciri-ciri kecekapan tenaga dalam rumah tradisional Melayu yang selari dengan usaha saintis dunia dalam menangani isu pemanasan global. Kajian ini diharapkan dapat membuka minda rakyat Malaysia terutamanya yang berbangsa Melayu agar menghargai warisan budaya bangsa sekaligus menjayakan perjuangan pembangunan lestari.